10.31.19 Abdul Hafidz Adam

LIBUR DWIAKSI DI KALA DEEPAVALI DAN HELLOWEEN: HELL OH! WEEN @ RUMAH API



Saya sedang berfikir tentang apa yang buat kita rasa berpeluang untuk menikmati demokrasi ketika mencuci pinggan mangkuk di kediaman Imran Norzain. Saya hanya sempat membuat kesimpulan acuh tak acuh bahawasanya dengan harapanlah yang membuatkan kita masih beriman kepada demokrasi — memandangkan kami kesuntukan masa dihimpit rencana sepanjang di sini. Saya mahu teruskan berpoya-poya dengan fikiran seperti biasa, namun apa boleh buat. Kami akan ke beberapa tempat di sekitar kota KL sebelum ke Rumah Api untuk berpanggung.


Berada di perbatasan Shah Alam-Puchong semata-mata untuk bermalam menyempitkan ruang untuk saya berkenalan lebih rapat lagi dengan persekitarannya. Di rumah Imran Norzain untuk tidur, manakala waktu selebihnya kami mengisi cuti Deepavali dengan menyambung sesi rakaman di Studio Penvia, PJ.


Deruan kenderaan KL begitu hipnotik sehinggakan saya tak sedar kami sudah berada di destinasi sekitar Petaling Jaya. Amalan singgah di Music Bliss juga tak dilupakan bagi menguatkan lagi telahan masyarakat perihal berkugiran memerlukan modal yang tinggi. Semuanya ralit melihat kilauan tanda harga sehinggalah satu pesanan Telegram yang ditunggu terus membuatkan kami bergegas untuk mengambil Saffi Isa. Sosok yang selalu kelihatan di belakang set drum Virginia On Duty bakal bertindak sebagai Penjaga Bunyi kami untuk malam nanti. Kami bergerak ke Rumah Api dengan dua kereta dan sampai lebih kurang jam 6 petang seperti tentatif rundown uji bunyi.


Setelah membayar caj parkir, kami berbondong-bondong berangkat ke dalam perut Bangunan MPAJ menuju ke tingkat 18. Baru kami perasan Rumah Api dan Pejabat Syariah berkongsi kawasan yang sama. Man Beranak menyambut kami sambil menguruskan urusan uji bunyi. Sementara peralatan muzik dipasang, kami ke bahagian bar dan distro untuk bersosial. Berborak dengan Trispsy dan Mok Druma berkenaan pelancaran EP kedua mereka. Sempat juga curi-curi berborak tentang Sloth Trust dengan bartender; playlist nya ada taste!


Tepat jam 7:30 malam kami memulakan set persembahan sebaik sahaja diumumkan oleh Alijo selaku MC / DJ malam itu. Bermain empat buah lagu; ‘J : W’, ‘Kita Adalah Apa Yang Kita Hilangkan’, ‘Likes Komoditi’ dan ‘Senda Prodigi’, rasa seronok lain macam kerana ini kali pertama melihat hadirin melayan lagu dalam kostum Trick-Or-Treat. Kami menyertai separuh hadirin ke pameran pangrok menampilkan Poodien, Amy Hamdan, Sangkakala Apokalips dan Man Beranak sementara yang lain layan DJ set dari Fi7i dan Alijo. Malam itu juga Bisik mempersembahkan kelainan. Tak lupa perkahwinan instrumen muzik tradisional dengan sampler binaan Taqi harus dipuji. Otam si singer / songwriter berattitude kali ini pula muncul sebagai band dan menjadi tumpuan ramai dengan kostum mumia. Bisik, Taqi, dan Otam — Alternative bising, Avant Garde dan Folk mengisi sukma muda-mudi malam sambutan Helloween.


Kami turun ke aras bawah untuk makan malam. Menyoroti pemandangan sekitar sambil makan Ayam Gepuk bersama Saffi, Imran, Khairul Kamarul dan Alijo menjadi lebih enak bila disulam dengan perbualan semasa. Antara yang menarik ialah mengenai dasar terbaharu radio tempatan. Menurut Alijo, semua stesen radio harus menyediakan satu slot berbahasa Melayu sekurang-kurangnya. Misi untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah sangat dipuji namun tak perlu sehingga menyebabkan hala tuju sesebuah stesen itu terganggu. Kecualilah radio yang bernaung di bawah kompeni besar seperti Astro yang memiliki stesen radio berbahasa Melayunya sendiri terlebih dahulu. Kami cepat-cepat berhenti dan ke tingkat 18 semula khas untuk Druma. Mujur berhenti, jika tak; dikhuatiri lebih banyak benda yang akan kami kopek-kopek sambil gelak ketawa.


Kami membiarkan diri dibuai Druma sehingga timbul rasa macam tak mahu pulang. Ini sangat merunsingkan. Set persembahan mereka dalam lapan lagu membuatkan semua dinding-dinding Rumah Api mampu berkata-kata. Muziknya berkilauan dan membakar apa sahaja yang melintas. Sesungguhnya ketika beberapa langkah sebelum keluar, saya tahu saya sudah menambah koleksi kugiran kegemaran terbaharu malam itu.