Bahang matahari petang di Jasin terus menggigit kulit. Aku pandu kereta sederhana laju meluncur terus ke kafe kegemaran ramai, CORM.
Di situ semua sudah menunggu. Papan-papan kekunci Casio, Bass Fender Jaguar & segala macam pedal effect semuanya sudah selamat disusun rapi dalam kereta Rahman & Hamizal. Dan set! Jam 5.01 petang, kami meluncur terus ke daerah Tangkak, Johor untuk event EK! lebih kurang jam 8 malam.
Menuju Tangkak, kami melepasi kampung-kampung kecil macam Chin Chin, Jasin dan Sialang, Johor. Kampung Chin Chin pada aku banyak simpan momen manis. Selain 20 tahun dahulu aku pernah menetap di situ ada juga warung pisang goreng dan tempe tepi lombong yang cukup sedap bila kau cicah dengan sambal kicap Johor. Tambah teh O suam dan pemandangan lombong tinggal, pasti jawapannya adalah markah penuh.
Tangkak dan Jasin ini cukuplah dekat, sebelah-sebelah aje. Perjalanan dari Jasin ke Tangkak tak lama, cuma 15 minit. Seperti kata penulis cerpen & moderator sensasi Anas Mohd, "nak terlelap pun tak sempat". Dan kami tiba di perkarangan Dewan Jubli Intan tepat pada masanya. Jam 6 semua membantu pasang-cucur wayar untuk sound check. Tiga ke empat buah lagu sempat kami sound check sebelum maghrib datang panggil sujud sekejap sebelum show.
Sebelum Tahvolè berpanggung untuk menakluk Tangkak, kami menukar arah ke food truck sekejap mengisi ruang perut yang meminta-minta. Nasi lemak ayam goreng panas, sambal sotong ikhlas dan mango float ganjaran buat diri sendiri sementara show kurang 15 minit lagi. Tambah Hisyam & Hafidz lagi, Tangkak ni macam syurga kedua untuk makan. Ada nasi lemak depan pejabat pos, chicken chop (...) Nasi Ayam Ali dan bubur Tangkak.
Saiful Nang, YB Sheikh Omar dan Azizul Latif sebagai moderator sudah dulu diskas soal ekonomi kreatif sambil kami tersenyum kekenyangan di belakang pentas. Red dari Pudipang Muar sosok yang bertanggungjawab panggil Tahvolè untuk show di Tangkak, telah bagi signal empat ke lima minit lagi Tahvolè kena on stage; katanya ubah plan. Talk show hal ekonomi kreatif panelis tiga orang itu diselang selikan dengan show Tahvolè. Kami okay saja apa pun mendatang.
J & W dan Likes Komoditi ambil tempat di awalan show. Diikuti Bicara, Kisi-Kisi Binari dan dua lagi lagu baru iaitu Kita Adalah Apa Yang Kita Hilangkan dan Oda Gelincir. Kiranya Tangkak ini sangat beruntung, tiga lagu baru Tahvolè terus menyusup dan meniti ke telinga mereka tanpa was-was. Kali ini menyaksikan Hafidz mengenakan kaca mata hitam kepunyaan penyajak dari Peringgit, Ahmad Saufie Jaffar. Kata Hafidz, untuk hilangkan stage fright. Show pun hampir sudah. Hafidz juga sempat mencelah dan sempat ‘in character’ menjadi Sulaiman dengan memberi cadangan-soalan pada panelis tentang ekonomi kreatif.
Sebelum acara bergambar ramai-ramai sebagai penutup, YB Sheikh Omar sempat tunjukkan pada Hafidz kugiran mana entah genre electronic hampir serupa Tahvolè. Bagi aku, ini satu petanda baik bila golongan pemerintah mendengar
musik-musik lain macam. Semestinya sebelum kami balik, geng Pudipang Muar jamu kami makan Mi Rebus (macam Mi Bandung pun ada) dengan macam-macam kuih. Ada hirisan daging dalam kuah Mi Rebus. Tambah mereka lagi, mi kuning itu juga mereka buat sendiri. Punyalah bagus geng Pudipang, buat set up event skala besar, anjur gig, buat mi kuning pun boleh. Betul-betul mengangkat DIY culture dan tak mustahillah mereka boleh sembang panjang pasal ekonomi kreatif.
Buat warga Johor, Pudipang dan Pekan Tangkak. Kita akan sentiasa bersaudara dari satu titisan, seperti Kesultanan Melayu Melaka dan Johor-Riau.
Terima kasih & jumpa lagi.
Oleh Fazrullah Zakaria
OCCUPY TANGKAK!