oleh Abdul Hafidz Adam



Dua lagu baharu diperdengarkan — ‘J : W’ sebagai pembuka tirai, dan ‘Senda Prodigi’ sebagai penutup. Ditengah-tengahnya ada ‘Kisi Kisi Binari’ dan juga ‘Likes Komoditi’ — empat lagu jumlah kesemuanya berlangsung lancar walaupun suhu sekitar mencecah 34°C. Sistem bunyian cemerlang, layanan kurator program sempurna dan kesempatan berjumpa rakan-rakan peserta festival buatkan kawasan sekeliling kelihatan lebih berbunga-bunga.


Sepanjang persembahan, hati yang belum begitu tenang atas kehilangan beberapa kenalan rapat menyuruh saya ingatkan hadirin berulang kali supaya cari tempat berteduh dan elakkan daripada dijilat hening matahari Kuala Lumpur. Saya juga sempat menayang bahagian belakang Casiotone MT65 yang berpelekat bertulis ayat bebas didaktik; ‘Apa Sesudah Menang’ ke-hulu-ke-hilir-pentas, sebelum meninggalkan Hisyam Hashim dan Hamizal Razali menggulung persembahan set petang itu impromptu berdua.


Saya disapa oleh seorang gitaris dengan ucapan tahniah sebaik sahaja masuk ke bahagian belakang pentas dan kami sempat bertukar-tukar ID IG kugiran masing-masing. Beliau mengakhiri perbualan dengan bertanya umur Tahvolé selepas menyedari persembahan sudah tamat dan belakang pentas mulai beransur banjir dek peralatan muzik yang diusung dari atas pentas. “Setahun lebih”, jawab saya spontan.


Ada juga seorang lelaki dari Shah Alam minta izin untuk ambil songlist dan minta turunkan tanda tangan kenang-kenangan sewaktu Anas Mohd, Ahmad Saufie Jaffar dan Mucky sedang sibuk membantu menggulung simpan wayar dan benda-apa-yang-patut ke dalam beg tarik. Saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju selepas saya terperasankan tshirt SOFT (kugiran shoegaze dari Ipoh) dan jenis kasut yang disarungnya — senang hati kami untuk halalkan songlist lengkap bertanda tangan jatuh ke tangan manusia bercitarasa semacam itu.


Fazrullah mengambil peranan sebagai pengedar pelekat Tahvolé secara percuma kepada setiap penonton. Istimewa kali ini sebab ada muka baharu bersama kami selain ahli Kelab Peminat Buah Fikiran, ada Saffi Isa dari Virginia On Duty selaku soundman. Beliau juga session menggantikan drummer MIM pada sebelah malam.


Bagi tidak mengkufuri nikmat yang tersedia, kami segera meluru ke arah dewan besar Balai Seni Visual Negara demi menyantuni kenyamanan pendingin hawanya usai barangan bersatu dalam beg tarik masing-masing.


Bauan yang terbit daripada pelbagai gerai tersusun sepanjang jalan menuju ke parkir membuatkan perut gelisah, lebih-lebih lagi ketika itu sudah masuk waktu makan tengahari bagi perut-perut Melayu dan yang sama naik dengannya. Saya hanya capai tiga botol RM10 pelbagai perasa berjenama Hausboom sebab nak tunggu makan berjemaah bersama yang lain dan meneruskan langkah ke lobi dewan utama.


Hari itu kami datang dengan tiga biji kereta dari Melaka (dari arah berbeza lokasi; satu terus dari tol Ayer Keroh, satu dari Kedai Kopi Q Cup dan satu lagi dari arah PJ) dan tiba hampir serentak di perkarangan Balai Seni Visual Negara ketika Festival Anak Muda (FAM) 2019 baru nak memulakan aktiviti persiapan bagi mengharungi hari kedua. Wajah berseri Hakim Alias dan EJ Safari yang masing-masing bertugas sebagai koordinator dan kurator acara menyambut kedatangan kami. EJ Safari menunjukkan arah ke belakang pentas sambil Hakim mengambil peluang menerangkan tentang perjalanan program FAM 2019. Kami sempat lepak bersama penggerak utama Borneo Komrad — Mukmin Nantang dan Syakila — berkongsi serba sedikit perkhabaran sekolah komuniti mereka dan selebihnya kami sambung di reruai Borneo Komrad pada sebelah malam. Sempat juga berborak dengan Jack Malik, Petak Daud dan rakan-rakan penyajaknya walau seketika cuma.


Sekitar jam 1:00PM kami soundcheck, setelah itu saya dibawa oleh Nona ke reruai sebuah perusahaan batik berjenama Teja KL sementara yang lain melawat reruai sekitar perkarangan Balai Seni Visual Negara. Kemudian saya pergi cari bilik air untuk mandi, meninggalkan yang lainnya beraktiviti bebas. Suhu KL terlalu panas, sempatlah juga saya memunafikkan seorang rakan warga KL (dalam hati) yang pernah menuduh Melaka sangat panas ketika kunjungannya tak lama dulu.


Pertikaian tentang rojak Jasin, cempedak goreng KL dan beberapa hal lagi sedang rancak dibualkan ketika saya menyertai rakan-rakan Kelab Peminat Buah Fikiran yang berehat meraikan pendingin hawa di bahagian lobi dewan utama Balai Seni Visual Negara. Ahli kelab ini setahu saya memang terkenal dengan amalan berpolemik untuk semua benda. Saya suka persekitaran sebegitu, ala infotainmen gitu.


Setelah memberikan serba serbi pandangan bersifat humor, saya mengalihkan tumpuan kepada skrin TV berhampiran. Ada teaser dengan bunyian menarik pada paparan tersebut yang akhirnya membuatkan saya melawat pameran yang sedang berlangsung di lobi Balai Seni Visual Negara. Pameran yang sedang berlangsung ialah pameran solo oleh Jayshree Ramasamy berjudul ‘Pause: A Collective Consciousness’. Rata-rata subjek utamanya ialah serangga. Kebetulan pula ketika saya sedang ralit meneka-neka apa klarifikasi bagi setiap bahan pameran, saya sempat memandang ke luar melihatkan keadaan yang sesak secara tiba-tiba —terdapat beberapa petugas dan hadirin menyambut Sultan Muda Selangor mencemar duli ke FAM 2019; betul-betul macam semut yang sedang menghurung makanan. Entah kenapa, sepintas lalu saya terus teringatkan kisah seekor belalang yang menikmati masa lapang bersenang-lenang sedang geng semut bertungkus lumus bekerja untuk persiapan masa depan.


Saya ketawa sendirian sambil berfikir kalau saya belalang, pastilah semua ahli Kelab Peminat Buah Fikiran juga belalang. Cuma saya cukup jelas kami adalah jenis belalang yang tahu bawa diri dan pandai main peranan — kami datang atas jemputan, namun kami juga memakai topi hadirin yang menggauli petugas dan acara di reruai — bukan datang semata untuk menghibur dan berhibur. Kami bangga kami juga adalah sebahagian daripada acara hari tersebut. Sesungguhnya datang semata-mata menghibur dan blah adalah mereka yang berada dalam kerugian. Alhamdulillah, tiada pihak yang disakiti dalam kisah ‘Belalang & Semut’ versi yang ini.


Kenalan dari Jasin yang kini menjadi warga Kuala Lumpur membawakan nasi untuk kami. Jam 2 petang Fitri Zayadi muncul dengan Ayam Goreng Kunyitnya yang luar biasa lazat. Kami makan bersila atas tar bawah bayangan pokok tak jauh dari parkir Balai Seni Visual Negara sebelum kami sambung membeli-belah dan layan aksi kugiran sehingga pekat malam menjelma.


Liyana Fizi adalah punca Hisyam Hashim dan saya bergerak pulang sedikit lewat sementara yang lain sudah pun menuju ke UKM untuk sedikit urusan sebelum terus ke lebuh raya selatan. Untuk basahkan tekak, saya ke belakang pentas untuk beberapa botol air mineral. Saya terkejut melihat selonggok lelaki membentuk bulatan diketuai lelaki muka berconteng. Demi menenangkan keadaan, saya pujuk anak perempuan saya yang dikendong dengan menerangkan padanya mereka adalah kugiran Iqbal M. Saya ambil air mineral sambil bersalaman dan keluar dengan segera sebelum anak perempuan saya hilang kawalan mengeluarkan kata-kata yang kurang enak pada mereka sekugiran. Budak-budak memang tak pandai menipu.


Touchdown rumah sekitar jam 4:12AM dan sambil menunggu waktu solat Subuh, saya berkira-kira berapakah harga untuk menjadi setulus kanak-kanak dalam berpendapat sebelum saya tidur hingga tak sedar Adib The Fatalis missed call.

KITA RONGGENG RONGGENG KITA DI FESTIVAL ANAK MUDA 2019