Selesai sesi semangkuk sup sayur seperti selalu. Terus meluncur ke dapur mencuci pinggan sendiri serta menyental sinki yang sudah sedia bersih. Entahlah, sengaja saya ulang rutin mencuci tersebut walaupun hanya cuma minum seteguk air masak di tengah malam. Dalam pada menyental sinki, fikiran terlintas tentang Morrisey yang juga diketahui umum merupakan seorang vegan. Mungkin juga dia suka menyental sinki sesudah makan. Cuma bezanya saya dengan Morrisey adalah saya tidak anti pada agama lain. Dan sup sayur yang saya makan sebentar tadi ada sebiji telur yang masak kira-kira 75 peratus di dalamnya. Ternyata Morissey tidak.
Jam lapan saya masih di Kampung Asam Kumbang, Bemban. Masih menunggu di bawah tiang lampu jalan—yang saya kira hendak hayatnya bakal berakhir bulan hadapan. Di warung nenek si heikal, ada kira-kira 7 hingga 10 lelaki tua sedang bergelak terbahak-bahak bagai tiada hari esok. Kalau diikutkan tren, mereka sedang gelakkan menang-kalah parti politik tahun ini, atau mungkin mereka sedang gelakan babi-babi yang sering menyeberang di Selat Melaka.
Heikal sampai. Kereta terus dipandunya meninggalkan tiang-tiang lampu seolah-olah berlumba-lumba ke belakang. Saya hanya duduk bersandar berselesa memerhatikan pemanduan Heikal yang kadangkala memualkan. Mula dia buka cerita tentang kerjanya, hutang piutang negara, artis luar gunakan LSD dalam mencapai titik temu dalam korus lagu serta betapa inzal receptornya semasa menyaksikan Mono sebulan lepas. Saya hanya sekadar membiarkan tiap butir katanya berpusing di cuping telinga. Tambahnya lagi sebenarnya dia sudah dipertengahan jalan untuk ke Merdeka Studio tadi, namun terpaksa berpatah semula ke Jasin kerana terlupa mengambil saya. Dan saya pula sekadar memandang dia seolah-olah mengecil dan terus mencair macam aiskrim vanilla Mcdonalds seringgit yang mencair pada waktu tengahari di tengah-tengah padang Dataran Pahlawan.
Sebagai menutupi kesalahannya, Heikal sudah awal-awal membelikan saya beberapa cucuk tongkeng ayam yang dijadikan sate. Saya kira ini semua satu petanda supaya saya terus diam tanpa mempersoalkan keadaan tinggal-meninggal tersebut. Jika sebaliknya, pasti saya akan disamakan apa yang dibelinya tadi. Bijak sungguh pemainan beliau, walaupun dia sendiri tahu seumur hidup saya tidak pernah menjamah tongkeng ayam pun.
Sampai di Merdeka Studio, lelaki essentrik Ahmad Saufie Jaafar menyambut dan membiarkan kami larut dalam keseronokan halal tanpa batasan.
Jarang-jarang Melaka ada buat gig yang line up hampir semuanya band post-rock. Tapi itulah yang terjadi pada Sabtu lepas. Ada Paint The Sky Red, Marsa, Loch dan yang paling ditunggu; Tahvole pada acara yang dianjurkan oleh MVMT. Tiada yang lebih indah lagi apabila menghabiskan malam hujung minggu anda dengan bunyian ambien dan elektronik pop.
Ruang jamming Merdeka Studio sudah mula dikerumuni. Tahvole mengambil tempat pertama dalam pembukaan acara. Seperti selalu, mereka menghidangkan bunyian nakal dan pelik namun sedap meniti masuk telinga. Crowd seolah-olah dipukau dengan bunyian dari band yang berasal dari Jasin, Melaka ini. Pada waktu dan ketika band kedua iaitu Marsa mula bermain, crowd sudah mula bertambah hingga crowd terpaksa bersesak sikit di dalam kawasan studio yang berkeluasan standard itu. Ini merupakan sebuah petanda yang sihat bahawa gig skala kecil sebegini tetap mendapat sambutan.
Usai mengemas wayar-wayar, Tahvole ditarik ke luar seorang lelaki. Kami kira lelaki tersebut ingin memukul mereka bertiga, ataupun peminat yang ingin dapatkan set list. Namun jangkaan kami semuanya tidak tepat. Lelaki tersebut membuat temubual tentang siapa Tahvole, apa bacaan dan isu-isu yang Tahvole respons dalam lagu. Dan tak lain tak buat, rancangan pada 2020 nanti. Di tangga, Tahvole bercerita tentang impian mereka untuk berkolaborasi dengan Jamal Abdillah, Francisca Peter, Mawi mahupun M. Daud Kilau di masa-masa akan datang. Ada bau sinis yang kuat di situ.
Tiba giliran Paint The Sky Red pula, ternyata antara band yang ditunggu-tunggu oleh crowd. Band post-rock dari Singapura ini masih lagi bertenaga dari segi persembahan dan melihatkan keadaan crowd pada ketika itu memang berpuas hati dengan tenaga yang dipersembahkan oleh mereka.
Tiba di band yang terakhir, Loch dari Tampin-Melaka. Oh ya, minggu lepas kugiran Math-Rock / Instrumental ini juga telah dijemput Urbanscapes untuk bikin show di tengah-tengah Kuala Lumpur. Saya kira ini satu pencapaian cemerlang buat mereka dan kugiran dari luar KL. Crowd masih menanti dengan penuh setia dan secara keseluruhannya, kemunculan hadirin pada haritu sangat memuaskan. Loch masih lagi dengan persembahan bertenaga dan mereka merupakan klimaks pada acara tersebut. Keputusan untuk meletakkan Loch di persembahan yang terakhir adalah tepat.
Jam 1 pagi saya dan Heikal Joe pulang. Kami sekadar mentertawakan seorang lelaki dari rancangan realiti TV yang menjadi tukang cakap agama segera. Katanya, dilamar 18 wanita namun dia menolak dan hanya memilih wanita ke-19 sahaja dijadikan calon isteri. Kami beranggapan bahawa lelaki tersebut dalam proses mengubah dirinya kepada fitrah lelaki sebenar, itu sebab 18 orang perempuan datang kepadanya dia menolak mentah-mentah.
Sup Sayur Morrisey dan Cerita-Cerita Heikal Joe
Gambar oleh Alvin Teo • Ditulis oleh: Fazrullah M. dan Musalman Toya 12.6.19